News

‘Food Bank’ Di Lebuh Raya Seliaan PROLINTAS

‘Food Bank’ Di Lebuh Raya Seliaan PROLINTAS

Kuala Lumpur, 12 Julai 2021 – Prihatin dengan keadaan semasa masyarakat sekeliling dalam menghadapi perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), Kumpulan Syarikat PROLINTAS telah mengambil inisiatif mewujudkan ‘food bank’ di kesemua enam jajaran lebuh raya seliaannya bermula hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS Dato’ Mohammad Azlan Abdullah, inisiatif ini dijalankan secara kolektif oleh syarikat dan kakitangan yang tampil mengumpul dana berjumlah hampir RM100,000.

“Dana yang dikumpul ini digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti minyak masak, beras, tepung, susu, gula dan sardin dan ianya ditempatkan di beberapa lokasi strategik lebuh raya dan ianya telah dimulakan pada Isnin, 12 Julai 2021 di Hentian Sebelah Plaza Tol Sungai Balak, Lebuhraya Kajang SILK (SILK). Orang awam yang memerlukan bantuan ini dialu-alukan untuk datang dan mengambil barangan tersebut, mengikut keperluan” ujar Dato’ Mohammad Azlan.

“Selain di Lebuhraya SILK, turut akan melaksanakan aktiviti yang sama dalam tempoh terdekat ini adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH). Sehubungan dengan itu orang awam dinasihatkan untuk secara aktif melayari akaun media sosial PROLINTAS bagi mengetahui hebahan aktiviti ‘food bank’ ini,” tambah Dato’ Mohammad Azlan.

Terdahulu PROLINTAS telah mengedarkan 300 kampit beras, 300 botol minyak masak dan beberapa makanan asas yang lain kepada penduduk Kampung Sungai Penchala yang turut terjejas dengan situasi pendamik Covid-19.

Untuk rekod sejak bermulanya fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, PROLINTAS secara aktif dan berterusan telah melaksanakan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu pelbagai pihak dengan menghulurkan dana, barangan perubatan mahupun makanan kepada petugas barisan hadapan perubatan, keselamatan, orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

– Tamat –
______________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Badri Ibrahim, Tel: 019-349 3300 / badri@prolintas.com.my
Mustafa Akmal Ariffin, Tel: 012-693 3487 / mustafa@prolintas.com.my
Pejabat : 03-2164 2450

______________________________________________________________________________________________

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) adalah sebuah syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Ia merupakan pemegang konsesi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Kajang SILK (SILK), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) melalui anak-anak syarikatnya. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web kami di www.prolintas.com.my.