CSR

PROLINTAS Anjur Program Pembangunan Insaniah Atas Talian Secara Percuma

PROLINTAS Anjur Program Pembangunan Insaniah Atas Talian Secara Percuma

Kuala Lumpur, 6 Ogos 2021- Seramai 50 anak muda lepasan universiti telah mendapat manfaat daripada program ‘Pembangunan Kemahiran Insaniah’ dianjurkan secara percuma oleh Kumpulan Syarikat PROLINTAS yang berakhir semalam.

Program yang dijalankan selama sebulan melalui platform atas talian itu bertujuan mempersiapkan graduan lepasan universiti dalam kemahiran berkomunikasi serta persediaan untuk melangkah ke dunia pekerjaan.

Program ini merupakan antara siri program pembangunan dan latihan insaniah yang dianjurkan oleh PROLINTAS di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah, cetusan idea untuk menganjurkan program sebegini adalah berikutan pemerhatian sebagai majikan yang melihat kepada kurangnya daya saing pekerja yang mempunyai kemahiran insaniah (soft skill), termasuk kemahiran berkomunikasi.

“Kemahiran komunikasi yang baik, keyakinan diri yang tinggi dan pemikiran kritis merupakan gabungan elemen yang sangat penting bagi menjadikan seseorang lepasan universiti itu lebih menonjol dan berkualiti. Dengan adanya ciri-ciri tersebut, ianya menyumbang kepada berkebolehpasaran yang tinggi kepada lepasan universiti itu sendiri,” ujar Dato’ Mohammad Azlan.

“Dalam usaha ini PROLINTAS telah bekerjasama dengan syarikat Enfiniti Academy yang merupakan antara syarikat produksi seni persembahan terbaik di Malaysia, diterajui oleh Puan Sri Tiara Jacquelina Abdullah. Kami percaya dengan pengalaman luas Enfiniti Academy yang sebelum ini telah melahirkan ramai bakat besar dalam industri seni tanahair mampu memberikan bimbingan dan pendidikan yang berharga kepada peserta program kami ini. Tambahan pula tenaga pengajar yang ditugaskan oleh Enfiniti Academy semuanya berpengalaman luas dan pernah terlibat dalam banyak produksi seni bertaraf antarabangsa,” tambah Dato’ Mohammad Azlan.

Sementara itu bagi Pengasas The Efiniti Academy, Puan Sri Tiara Jacquelina, program bersama PROLINTAS ini merupakan satu amanah besar yang harus dilaksanakan sebaik mungkin.

“Kami percaya menerusi pendekatan seni persembahan, ianya boleh meningkatkan tahap keyakinan anak muda untuk berinteraksi serta mengasah kreativiti mereka untuk menyelesaikan masalah secara kritis. Program yang diketuai oleh penggiat seni terkenal iaitu Joanna Bessey ini secara tidak langsung menyumbangkan kepada pemerkasaan jatidiri peserta untuk berhadapan dengan situasi pekerjaan sebenar,” ujar Puan Sri Tiara.

Sehingga hari ini, PROLINTAS telahpun terlibat secara langsung dalam membantu lebih 200 orang anak-anak muda dalam penyediaan memasuki dunia pekerjaan. Antaranya adalah program Skim Latihan 1Malaysia (SLIM), Program Pelatih Graduan Eksekutif PNB (PNB GET) dan Program Latihan Lepasan Graduan ‘Protégé’.

– Tamat –

___________________________________________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Badri Ibrahim, Tel: 019-349 3300 / badri@prolintas.com.my
Mustafa Akmal Ariffin, Tel: 012-693 3487 / mustafa@prolintas.com.my
Pejabat : 03-2164 2450

___________________________________________________________________________________________________________________________________

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) adalah sebuah syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Ia merupakan pemegang konsesi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Kajang SILK (SILK), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) melalui anak-anak syarikatnya. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web kami di www.prolintas.com.my.