Events

Recent corporate milestones and momentous occasions.

PROLINTAS & MIROS BEKERJASAMA MENINGATKAN KESEDARAN PENGGUNA LEBUH RAYA TENTANG KESELAMATAN

PROLINTAS & MIROS BEKERJASAMA MENINGATKAN KESEDARAN PENGGUNA LEBUH RAYA TENTANG KESELAMATAN

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) baru-baru ini menjalankan Kempen Kesedaran Keselamatan menerusi karnival mini di Kawasan Rehat & Rawat (RSA) Elmina, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata, kempen berkenaan selari dengan komitmen berterusan syarikat dalam memastikan keselamatan, keselesaan dan kemudahan pengguna lebuh raya terpelihara.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan MIROS buat pertama kalinya. Peranan penting institut berkenaan dalam pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya selari matlamat syarikat kami. Menerusi jalinan strategik ini, kami berharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.

Karnival berkenaan melibatkan beberapa aktiviti interaktif dan inovatif yang direka untuk mendidik masyarakat tentang keselamatan jalan raya antaranya simulasi memandu kenderaan dengan selamat, Selamat Sampai Sekolah atau 3S, demonstrasi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan serta simulasi menunggang basikal.

Program selama dua hari dari 8 hingga 9 Mac 2024 itu mensasarkan pengunjung RSA Elmina daripada pelbagai peringkat usia, masyarakat sekitar dan pengguna lebuh raya.

Bergerak ke hadapan, PROLINTAS komited dalam memperkukuh kerjasama dengan MIROS serta agensi-agensi lain dengan fokus terhadap teknologi dan inovasi keselamatan trafik.

Inisiatif ini seiring dengan komitmen kelestarian, khusus untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan pengguna lebuh raya, di samping mewujudkan impak berpanjangan kepada masyarakat setempat.